Apa kena mengena rock kapak, Indonesia dan KPOP?
Aku yakin hampir semua dari korang yang membaca artikel ini pasti tahu lagu Tiada Lagi Kidungmu nyanyian Lefthanded. Bagi yang tak pernah dengar lagi, aku sarankan kau dengar. Sebab lagu ni bagi aku punya tulisan yang cantik dan dinyanyikan dengan suara Nash yang bagi aku cukup hebat di zaman kegemilangannya. Tapi yang membuatkan aku lebih tertarik dengan lagu ni sebenarnya ialah sejarahnya yang cukup bermakna dalam membentuk budaya dan gaya hidup Rock Kapak yang menjadi fenomena satu ketika dulu dan masih lagi kuat pukulan nya di negara-negara Nusantara.
Kalau dilihat dari sudut sosiologi, hampir semua penganut cara hidup rock kapak ini punya fesyen yang sama, memegang falsafah yang sama dan punya kecenderungan yang sama.
Aku rasa pasti kita semua maklum tentang apa itu rock kapak. Walaupun pada dasarnya rock kapak ini cuma lah genre muzik, tapi kalau diselam dengan lebih dalam (jangan sampai tenggelam), rock kapak ni lebih dari itu. Ianya merupakan satu lifestyle. Kalau dilihat dari sudut sosiologi, hampir semua penganut cara hidup rock kapak ini punya fesyen yang sama, memegang falsafah yang sama dan punya kecenderungan yang sama.
Kembali semula kepada lagu Tiada Lagi Kidungmu tadi, lagu ni sebenarnya memang besar impak dia kepada muzik bukan sahaja di Malaysia, malahan di Indonesia. Ketika diawal zaman kegemilangan rock kapak dulu, dua band paling prominent sudah semestinya lah Lefthanded dan Search. Sweet Charity dan yang seangkatannya pula sudah jauh kedepan dan dianggap sebagai mentor kugiran-kugiran baru ini. Ramli Sarip yang merupakan seorang tokoh rock yang diagungkan pemuzik muda ketika itu telah memberi sebuah kaset kepad Nash (vokalis Lefthanded) yang mana di dalamnya terdapat lagu-lagu nyanyian artis Indonesia bernama Jack Marpaung. Apa yang Ramli Sarip inginkan adalah untuk Nash menelaah nyanyian dan lagu-lagu yang dibawa Jack Marpaung sebagai panduan memantapkan lagi dirinya sebagai frontman sebuah band rock kapak. Rock di Malaysia ketika itu memang masih muda, pemuzik perlu banyak mendapat inspirasi dari muzik luar jadi jangan terkejut kalau kau dengar intro Debunga Wangi tu sebjik macam intro Aces High nyanyian Iron Maiden. Tapi, Nash pula telah jatuh cinta dengan satu lagu Jack Marpaung yang bertajuk “Tiada Lagi Kidungmu”. Ya betul, lagu yang sama dengan yang kita selalu dengar Nash nyanyi tu. Itu merupakan cover bagi lagu “Tiada Lagi Kidungmu” yang asalnya dinyanyikan Jack Marpaung.
Dalam pada menjadikan Jack Marpaung sebagai inspirasi, Nash telah merevolusikan rock kapak di Malaysia dengan suara falsetto nya yang meronta-ronta tu.
Apa yang jadi lepas tu? Lagu tu meletup lah apa lagi. Dalam pada menjadikan Jack Marpaung sebagai inspirasi, Nash telah merevolusikan rock kapak di Malaysia dengan suara falsetto nya yang meronta-ronta tu. Memang kebanyakan orang bersetuju cara Nash menyampaikan lagu tu jauh lebih baik dari versi Jack Marpaung. Secara peribadinya, aku merasakan nyanyian Jack Marpaung punya lebih jiwa manakala nyanyian Nash pula jauh lebih baik teknik dan penyampaiannya. Dengan kejayaan lagu tu, maka bermula lah juga kejayaan Lefthanded yang mana merupakan juga permulaan gemilang kepada rock kapak. Nun jauh di seberang sana, rock kapak Malaysia juga mula mendapat tempat di hati pendengar Indonesia ketika itu sehinggalah ke hari ini di mana peminat muzik Indonesia sangatlah mengagungkan rock kapak Malaysia, tak kira tua atau muda. Ketika aku ke Surabaya tahun lepas, ketika sedang membeli belah di Pasar Turi, tiba-tiba lagu “Tiada Lagi Kidungmu” dimainkan di radio. Aku pun bertanya kepada penjual baju batik yang ada di situ, siapakah penyanyi lagu tu. Mungkin sekitar 20an umurnya. “Oh, itu penyanyi Malaysia, Nash” jawabnya. Aku tanya lagi, “mas tahu siapa penyanyi asal lagu tu”, dia tak tahu. Aku sebut nama Jack Marpaung, dia tak kenal. Aku teruskan bertanya di setiap kedai yang aku kunjungi, rata-rata memberi jawapan yang sama. Ah, ironinya!
Kesimpulan
Begitulah industri muzik, di sana mereka mengagungkan rock kapak kita, di sini kita mengagungkan band-band baru mereka. Aku ketawa membaca komen seorang artis rock kapak kita baru-baru ini bila dia mengkritik usaha membawa satu band kpop yang tengah meletup sekarang ini ke Malaysia. Siap petik semangat “nasionalisme” dan guna peribahasa “kera dihutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”. Sedar atau tidak, muzik memang lumrah nya begitu, saling menginspirasi, melangkaui batas bahasa, dia berbahasa korea, aku berbahasa Malaysia, tak penting, yang ada cuma bahasa muzik. Kalau dulu Nash tak mahu dengar lagu Jack Marpaung kerana nasionalisme yang kuat, cuma nak dengar lagu artis Malaysia, mungkin jalan cerita rock kapak Malaysia ni lain. Atau jauh sebelum tu, kalau rock di barat tu tak sampai ke Malaysia kerana orang Malaysia ketika tu taknak dengar artis luar selain, dah tentu rock kapak tu sendiri pun tiada. Jadi, raikan lah muzik kerana muzik itu sendiri, jiwailah ia dan jangan lah letak apa-apa konotasi pada muzik. Rock kapak bukan lagu rempit, edm bukan lagu kaki clubbing, kpop bukan lagu feminin dan lain-lain (kecuali penggemar lagu cumi cumi cumi).
Ayuh sama-sama kita tonton nyanyian hebat Jack Marpaung!
Comments